follow me =)

Ahad, 12 Februari 2012

pengalaman vs kenangan

sumber : Utusan Malaysia 6/2/2012...

"PTD kontrak mohon dibela


SAYA dan rakan-rakan PTD kontrak lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari seluruh Malaysia yang telah dan bakal ditamatkan perkhidmatan ingin memohon kerjasama dan bantuan daripada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi memperjuangkan nasib kami yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak JPA dan SPA.

Untuk makluman, sebahagian daripada kami merupakan graduan universiti tempatan dan luar negara di bawah tajaan JPA yang telah diarahkan untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai PTD (Gred M41) secara kontrak.

Sebelum berkhidmat sebagai PTD kontrak, terdapat dalam kalangan kami sudah mempunyai kerjaya yang mantap dengan pendapatan yang lumayan di sektor swasta.

Bagaimanapun, sebagai pemegang biasiswa JPA, kami tidak mempunyai pilihan untuk menolak arahan berkenaan kerana sekiranya ingkar untuk berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia, maka pegawai akan dianggap telah melanggar kontrak biasiswa JPA dan perlu membayar penalti yang telah ditetapkan.

Begitu juga bagi pegawai yang bukan kalangan pelajar tajaan JPA, majoriti daripada mereka telah menolak jawatan-jawatan tetap yang diberikan oleh syarikat swasta dan kerajaan kerana ingin berkhidmat untuk negara.

Kami dengan bangganya menerima arahan berkenaan tanpa ragu-ragu kerana menyedari kami akan menjadi pemangkin utama Perkhidmatan Awam dalam merangka, menggubal, menetapkan serta melaksana dasar dan peraturan kerajaan.

Kami yakin pengorbanan itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat yang merupakan pelanggan utama kerajaan di samping memenuhi aspirasi kerajaan dan stakeholders.

Kami dengan rasa rendah diri turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana telah memberikan peluang dan kepercayaan kepada kami untuk berkhidmat dan menabur bakti demi kecemerlangan dan transformasi perkhidmatan awam secara berterusan seperti mana yang dicetuskan oleh PM.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, kami telah ditempatkan di pelbagai kementerian serta agensi kerajaan termasuk agensi yang berprofil tinggi dan utama seperti Jabatan Perdana Menteri, JPA, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa (MITI), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bahagian Kabinet Perlembagaan & Perhubungan Antara Kerajaan (BKPP).

Pendek kata, kami merupakan agen penambahbaikan, penggubalan, pelaksanaan dasar, pengukuhan jalinan hubungan antarabangsa dan peraturan kerajaan mengikut keperluan semasa negara. Kami secara langsung terlibat dalam pengendalian maklumat negara. Malah, ada dalam kalangan kami diberi kepercayaan oleh Ketua Jabatan untuk memangku tugas Pegawai Penyelianya kerana kualiti prestasi kerja yang mantap, komitmen tugas yang ditunjukkan dan juga diberi kepercayaan untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Misalnya, mereka yang berada di Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa berpeluang menyertai persidangan antarabangsa. Ini secara tidak langsung menunjukkan kami boleh melaksanakan tugas seperti pegawai lantikan tetap.

Pada 4 hingga 14 Januari 2011, pihak SPA dan JPA telah menganjurkan temu duga khas kepada semua Pegawai Tadbir & Diplomatik Gred M41(Kontrak) lantikan JPA dan SPA yang berada di seluruh Malaysia bertujuan untuk menetapkan hala tuju PTD kontrak ini di dalam perkhidmatan awam. Bagaimanapun, hasil temu duga tersebut tidak menyebelahi semua pihak kerana tidak semua berjaya mendapat lantikan tetap. Daripada seramai 652 orang pegawai yang memegang status kontrak, hanya 78 orang pegawai berjaya mendapat lantikan tetap.

Bagi mereka yang telah lulus temuduga khas, masih lagi memegang status kontrak kerana masih belum lulus syarat lantikan skim perkhidmatan PTD iaitu wajib lulus peperiksaan dan Programme Assessment Centre (PAC), pegawai.

Terdapat pula pegawai telah disenaraipendekkan oleh ahli panel penemuduga untuk ditawarkan ke jawatan lain sekiranya terdapat kekosongan jawatan. Bagaimanapun, cuma segelintir yang berjaya mendapat tawaran tersebut. Majoriti daripada kami masih lagi menunggu tawaran dan ada juga yang telah dan bakal ditamatkan perkhidmatan. Lebih menyedihkan lagi, mereka yang tidak lulus temuduga khas tersebut telah dan bakal ditamatkan perkhidmatan apabila genap tempoh kontrak masing-masing.

Merujuk kepada kes 13,184 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah diberi pertimbangan untuk terus berkhidmat dan diserap ke perkhidmatan tetap tertakluk kepada syarat seperti yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa ucapan penggulungan di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011, kami berharap pihak terbabit turut membela nasib kami.

Persoalannya, mengapa kami tidak boleh diberi peluang yang sama dan adil seperti GSTT sedangkan kami adalah pemegang biasiswa JPA yang telah ditaja pengajian dan telah diarahkan untuk berkhidmat dengan kerajaan Malaysia sebagai PTD, Gred M41?

Kami telah dimaklumkan bahawa tempoh kontrak kami tidak akan disambung oleh pihak SPA dan JPA dan kami juga tidak akan dilantik tetap kerana tidak melengkapi syarat-syarat lantikan skim perkhidmatan PTD.

Mereka yang telah ditamatkan perkhidmatan masih menganggur sehingga sekarang. Kami tidak faham rasional mengapa peperiksaan dan PAC masih lagi dijadikan kayu pengukur kepada kami untuk mendapat lantikan tetap sedangkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang bercirikan peperiksaan telah dimansuhkan PM demi kepentingan perkhidmatan awam.

Tempoh perkhidmatan kami yang melebihi 2 tahun, markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan yang cemerlang dan mendapat sokongan penuh Ketua Jabatan dan pihak Pengurusan Tertinggi tidak pula dipandang oleh mereka.

Kami mempunyai keluarga yang perlu disara dan anak-anak kecil yang bersekolah. Sekiranya perkhidmatan kami ditamatkan, bagaimana kami hendak menyara keluarga dan menampung pendapatan keluarga?

Dunia pekerjaan di negara ini sangat kompetitif. Kami yang sudah mempunyai pekerjaan ini tetapi diberhentikan pula hanya akan menambah kadar pengangguran di Malaysia. Hal ini sangat mendukacitakan ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan termasuk ketua-ketua jabatan kami.

Kami ingin memohon PM untuk membantu kami bagi mendapatkan penyambungan tempoh perkhidmatan kontrak sekiranya permohonan kami untuk dilantik tetap masih juga tidak berjaya. Hanya PM yang dapat membantu kami untuk keluar daripada kemelut masalah ini."

noted : akan menjadi satu kenangan dan pengalaman yang tak ternilai kerana tidak semua orang (tanpa melalui ketiga-tiga peringkat untuk di lantik memasuki skim ini) dapat merasa/menilai betapa beratnya tanggungjawab yang ditugaskan dalam sektor kerajaan... Semoga ada sinar rezeki untuk aku selepas ini dan semoga jalan aku akan menuju kejayaan....

0 comments:

Catat Ulasan